Setiap daripada kita tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun, sebaik-baik pendosa adalah mereka yang melakukan taubat demi membersihkan kesalahan lalu.
Untuk bertaubat, kita perlu terlebih dahulu menyesali perbuatan yang telah dilakukan serta menghindari dosa tersebut.
Setelah itu, kita dikehendaki memohon keampunan sejujurnya daripada Allah SWT dan berazam tidak mengulangi dosa berkenaan.
Menurut portal Tzkrh, di samping bertaubat, terdapat juga beberapa amalan lain yang boleh dilazimi untuk hapuskan dosa lampau, iaitu:
1. Sempurnakan wuduk.
Dari Abu Hurairah berkata, sabda Rasulullah SAW: “Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk, maka setelah ia membasuh wajahnya keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir.
“Ketika membasuh kedua tangannya, keluarlah daripada kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir.
“Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk dia bersih daripada dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
2. Solat jemaah di masjid.
Disebutkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu beberapa perkara yang dengannya Allah akan menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat kamu?
Mereka menjawab: Mahu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Iaitu menyempurnakan wuduk walau dalam keadaan susah (seperti dalam keadaan sakit atau terlalu sejuk), sering berjalan ke masjid (solat jemaah) dan menunggu solat setelah selesai menunaikan solat. Yang demikian itu adalah ribat (jihad/perjuangan), yang demikian itu ribat, yang demikian itu ribat.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Amalkan zikir ini selepas solat.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali.
“Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan: الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.” (Hadis Riwayat Muslim)
4. Mengaminkan bacaan al-Fatihah ketika solat berjemaah.
Abu Hurairah RA berkata bahawa sabda Rasulullah SAW: “Apabila imam mengucapkan Amin, maka kamu juga ucapkanlah Amin kerana sesungguhnya sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
5. Bersedekah.
Baginda SAW bersabda: “Sedekah itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana air itu memadamkan air.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Allah SWT tahu hamba-hamba-NYA merupakan makhluk lemah dan leka yang sering melakukan kesilapan. Oleh itu, Dia menyediakan pelbagai cara agar kita dapat menghapus semula dosa.
Dalam masa sama, Rasulullah SAW juga mengajar kita untuk sentiasa beramal dan bertakwa kepada Allah SWT.
Sabda baginda: “Bertakwalah kepada Allah di manapun anda berada. Iringilah perbuatan dosa dengan amal kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapusnya. Serta bergaulah dengan orang lain dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Sumber Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.